Showing posts with label Berita. Show all posts
Showing posts with label Berita. Show all posts

Tuesday, 5 March 2013

MKN salur bantuan makanan kepada penduduk Kampung Tanjung Labian






LAHAD DATU: Majlis Keselamatan Negara (MKN) menyalurkan bantuan makanan kepada 26 keluarga dari Kampung Tanjung Labian yang kini tinggal di Dewan Serbaguna Embara Budi, susulan serangan ofensif pihak keselamatan negara ke atas pengganas Sulu di Kampung Tanduo, di sini.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara, Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab, berkata MKN menjangkakan lebih ramai penduduk akan tinggal di dewan itu buat sementara waktu.

"Ada penduduk kampung tidak keluar rumah pada peringkat awal sudah keluar berjalan kaki meninggalkan rumah menuju ke dewan serbaguna itu," katanya pada sidang media di Residental Felda Sahabat, Felda Sahabat 16, hari ini.

Terdahulu beliau meninjau keadaan penduduk di dewan serbaguna itu selepas melawat Kampung Tanjung Labian yang menurutnya semakin kosong dan rumah pula berkunci.

Katanya, penduduk yang ditemui beliau memberitahu mereka meninggalkan rumah kerana bimbangkan keselamatan selepas mendengar bunyi letupan pagi tadi.

Mengulas isu lain, beliau mengingatkan pihak yang berkenaan supaya berhenti menyebarkan khabar angin yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.

"Khabar angin itu tidak patut dibuat disebabkan ada pihak seronok membuat cerita tetapi cerita direka itu mampu mengancam keselamatan," katanya.

"Dalam aspek lain patut kita bersatu padu memberi sokongan kepada pasukan keselamatan serta tindakan yang diambil kerajaan dan bukannya mencari salah," katanya. - BERNAMA

Tujuh batalion ATM ke Sabah


KUALA LUMPUR 4 Mac - Sebanyak tujuh batalion anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah dikerah ke Sabah bagi membantu pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menangani insiden pencerobohan oleh kumpulan yang mendakwa tentera Kesultanan Sulu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, daripada jumlah itu, lima batalion ditempatkan di daerah Lahad Datu, manakala masing-masing satu di Sandakan dan Tawau.
''Untuk maklumat penduduk Sabah, saya ingin maklumkan bahawa pihak tentera membantu polis sepenuhnya,'' kata beliau menerusi Twitternya di sini hari ini.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberikan mandat dan kuasa sepenuhnya kepada Panglima ATM, selain Ketua Polis Negara untuk mengambil apa sahaja tindakan yang perlu tanpa ada lagi sebarang lanjutan masa kepada kumpulan penceroboh berkenaan.




Sementara itu, Panglima ATM, Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zain semalam menegaskan ATM dan polis mempunyai perancangan dan strategi mantap serta mampu menangani isu pencerobohan di Kampung Tanduo, Lahad Datu.

Pada 1 Mac lalu, dalam pertempuran antara kumpulan pencerobohan Sulu dengan pasukan VAT 69 telah mengorbankan dua anggota pasukan itu .

Dalam dua serangan berasingan di Kampung Simunul, Semporna Sabtu lalu pula, enam anggota polis terbunuh, dua cedera dan beberapa lagi anggota keselamatan dikepung oleh kumpulan penceroboh.

Terdahulu, Zahid bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang berada di Lahad Datu turut mendengar taklimat daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.