Tuesday 5 March 2013

Tujuh batalion ATM ke Sabah


KUALA LUMPUR 4 Mac - Sebanyak tujuh batalion anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah dikerah ke Sabah bagi membantu pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menangani insiden pencerobohan oleh kumpulan yang mendakwa tentera Kesultanan Sulu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, daripada jumlah itu, lima batalion ditempatkan di daerah Lahad Datu, manakala masing-masing satu di Sandakan dan Tawau.
''Untuk maklumat penduduk Sabah, saya ingin maklumkan bahawa pihak tentera membantu polis sepenuhnya,'' kata beliau menerusi Twitternya di sini hari ini.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberikan mandat dan kuasa sepenuhnya kepada Panglima ATM, selain Ketua Polis Negara untuk mengambil apa sahaja tindakan yang perlu tanpa ada lagi sebarang lanjutan masa kepada kumpulan penceroboh berkenaan.




Sementara itu, Panglima ATM, Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zain semalam menegaskan ATM dan polis mempunyai perancangan dan strategi mantap serta mampu menangani isu pencerobohan di Kampung Tanduo, Lahad Datu.

Pada 1 Mac lalu, dalam pertempuran antara kumpulan pencerobohan Sulu dengan pasukan VAT 69 telah mengorbankan dua anggota pasukan itu .

Dalam dua serangan berasingan di Kampung Simunul, Semporna Sabtu lalu pula, enam anggota polis terbunuh, dua cedera dan beberapa lagi anggota keselamatan dikepung oleh kumpulan penceroboh.

Terdahulu, Zahid bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang berada di Lahad Datu turut mendengar taklimat daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.





No comments:

Post a Comment