KUALA LUMPUR 4 Mac - Sebanyak tujuh batalion anggota Angkatan
Tentera Malaysia (ATM) sudah dikerah ke Sabah bagi membantu pasukan Polis
Diraja Malaysia (PDRM) menangani insiden pencerobohan oleh kumpulan yang
mendakwa tentera Kesultanan Sulu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata,
daripada jumlah itu, lima batalion ditempatkan di daerah Lahad Datu, manakala
masing-masing satu di Sandakan dan Tawau.
''Untuk maklumat penduduk Sabah, saya ingin maklumkan bahawa pihak
tentera membantu polis sepenuhnya,'' kata beliau menerusi Twitternya di sini
hari ini.
Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberikan
mandat dan kuasa sepenuhnya kepada Panglima ATM, selain Ketua Polis Negara
untuk mengambil apa sahaja tindakan yang perlu tanpa ada lagi sebarang lanjutan
masa kepada kumpulan penceroboh berkenaan.
Sementara itu, Panglima ATM, Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zain semalam
menegaskan ATM dan polis mempunyai perancangan dan strategi mantap serta mampu
menangani isu pencerobohan di Kampung Tanduo, Lahad Datu.
Pada 1 Mac lalu, dalam pertempuran antara kumpulan pencerobohan
Sulu dengan pasukan VAT 69 telah mengorbankan dua anggota pasukan itu .
Dalam dua serangan berasingan di Kampung Simunul, Semporna Sabtu
lalu pula, enam anggota polis terbunuh, dua cedera dan beberapa lagi anggota
keselamatan dikepung oleh kumpulan penceroboh.
Terdahulu, Zahid bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri
Hishammuddin Tun Hussein yang berada di Lahad Datu turut mendengar taklimat
daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.